Pages

Follow me on Instagram : ezzardster

11/26/2011

Salam Maal Hijrah 1433H/2011M



RAMAI beranggapan Maal Hijrah hanyalah cuti umum atau permulaan tahun baru dalam kalendar Islam yang semakin kurang dihayati pengertiannya sehingga ia semakin tidak membawa apa-apa makna, selain waktu senggang untuk berehat.

Maal Hijrah sering digambarkan sebagai permulaan yang baru, tetapi apa yang lebih penting ia adalah detik untuk setiap individu melakukan penilaian diri melalui proses muhasabah agar menjadi individu lebih baik.



Tahun baru dalam Islam bukanlah sambutan perayaan atau simbolik semata-mata, tetapi membawa maksud yang lebih mendalam. 

Faktanya, umat Islam memahami bahawa tahun Hijrah yang kini sudah mencapai angka 1433 menandakan perpindahan besar Nabi Muhammad SAW serta pengikut Baginda dari Makkah ke Madinah. Hijrah Rasulullah menandakan lembaran baru terhadap penyebaran Islam yang lebih makmur. 

Hijrah menurut pengertian umum ialah meninggalkan larangan Allah dan melaksanakan perintah-Nya, bagaimanapun dalam pengertian yang lebih luas, ia membawa maksud keluar daripada medan perjuangan yang sempit ke gelanggang yang lebih luas dan ia adalah pemisah di antara yang hak dengan yang batil. 

Konsep hijrah yang dianjurkan Islam sangat sesuai dijadikan model dalam masyarakat berbilang kaum supaya hidup dalam kesepakatan dan aman sejahtera. Semangat itu juga konsisten dengan semangat Aidiladha yang baru berlalu. Di sebalik semua saranan itu, masih ramai umat Islam masih terhimpit dengan desakan globalisasi, kemiskinan dan kemunduran. 

Kemunduran berpunca daripada sempitnya akal fikiran, ketidaksanggupan manusia untuk berubah, kejahilan serta sikap tamak dan rakus yang natijahnya memakan diri dan masyarakat. 

Setiap umat Islam mesti bersemangat dan menanam cita-cita untuk berubah. Berubah daripada sifat yang kurang baik kepada yang lebih bermakna untuk diri dan masyarakat. Hakikat ini juga bermakna umat Islam harus berani melakukan perubahan dan pengorbanan. 

Hijrah tidak akan terjadi jika umat Islam belum bersedia mengorbankan tabiat lama yang kurang baik seperti membuang masa, suka berhibur serta tidak berfikiran terbuka. 

Hijrah sepatutnya membawa perubahan dalam hidup ke arah yang lebih baik, sempurna dan diredai Allah, di mana hasilnya ialah kemenangan kita dalam mempertahankan akidah, agama, cara hidup dan nilai yang kita amalkan. 

Pengorbanan yang dilakukan dengan ikhlas dan penuh yakin pasti akan membuahkan hasil terbaik. Perlu difahami bahawa hijrah adalah syiar keimanan, sama ada hijrah dari suatu tempat kekufuran, kemusyrikan dan kejahilan kepada tempat yang dinaungi akidah keimanan dan hakikat kebenaran.

Renung-renungkan dan selamat beramal... :)


No comments:

Post a Comment

TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...