Pages

Follow me on Instagram : ezzardster

10/25/2012

Agenda Baru Bangsa Melayu… Kembalikan Semula Kuasa-Kuasa Raja Melayu Di Tanah Melayu


Perpecahan yang berlaku dikalangan orang Melayu di Malaysia telah sampai keperingkat yang mengusarkan banyak pihak. Ramai yang berpendapat sekiranya orang Melayu terus berpecah mereka akan kehilangan kuasa politik dan kemerdekaan.


Perpecahan orang Melayu adalah disebabkan perbezaan idealogi politik. UMNO yang merupakan organisasi terbesar orang Melayu berjuang diatas landasan semangat nasionalisme Melayu-Islam dan PAS pula sebagai organisasi kedua terbesar berjuang dengan bertunjangkan orientasi Islam.


UMNO mempromosikan dasar-dasar yang tidak bertentangan dengan Islam manakala PAS pula mempromosikan dasar-dasar Islam. Perbezaan kaedah perjuangan namun ditafsirkan sebagai perbezaan aqidah oleh PAS sehingga timbul isu kafir mengkafir dan berlaku sembahyang dua imam di banyak tempat.


Kini muncul pula kelompok ketiga dalam masyarakat Melayu. Kelompok yang tidak menyokong UMNO atau PAS. Kelompok ini merasakan bahawa kedua-dua organisasi sama sahaja. Ini kerana kedua-duanya terlibat mengamalkan system demokrasi yang dilarang kerasa oleh Islam kerana sistem ini menyekutukan Allah SWT dan bolih menyebabkan orang Islam terkeluar dari aqidah Islam kerana mengamalkannya.


Kelompok ini secara mutlak menolak demokrasi dan kapitalis dan memilih pemimpin melalui sistem pilihanraya. Kelompok ini didukung oleh ramai golongan muda yang berusia dibawah 30 tahun yang dikenali sebagai generasi Y.


Melihat kepada keadaan semasa, memang benar perpecahan orang Melayu sudah sampai keperingkat kritikal. Suara-suara kebimbangan terdengar disana-sini. Begitu juga dengan suara-suara yang menyeru kepada perpaduan orang Melayu semakin berkumandang disana-sini.


Namun atas dasar apa orang Melayu perlu bersatu ? Apakah faktor yang cukup kuat yang mampu menyatu-padukan orang Melayu ?


Untuk mencari jawapannya kita perlu melihat kepada ciri-ciri yang sangat identik dengan orang Melayu. Raja-Raja Melayu, Islam, bahasa Melayu dan adat budaya Melayu. Inilah ciri-ciri orang Melayu dan ini juga faktor-faktor yang mampu mengusik sensitiviti orang Melayu.


Pada waktu ini orang Melayu telah kehilangan asas untuk bersatu. Mereka tidak mempunyai motivasi yang kuat untuk bersatu. Demokrasi telah menyebabkan mereka berpecah-belah.


Hanya ada satu sahaja jalan terbaik untuk menyatukan kembali orang Melayu. Kembalikan kuasa Raja-Raja Melayu.


Tolak demokrasi dan daulatkan kembali Raja Melayu sebagai wakil Allah SWT diatas muka bumi dan memerintah dengan syariat Islam menurut Al-Quran dan Sunnah.


Daulatkan Raja Melayu. Raja Melayu adalah ketua agama Islam. Dan Islam memiliki semua jawapan kepada setiap masalah manusia. Mendaulatkan Raja bererti kita mendaulatkan syariat Islam. Mendaulatkan syariat Islam bererti kita mendaulatkan Allah SWT.


Biarlah Raja menjadi Raja dan rakyat menjadi rakyat. Sampai bila kita ingin melihat Raja menjadi rakyat dan rakyat menjadi Raja. Untuk apa mempunyai Raja yang tidak memiliki kuasa. Berilah peluang agar Raja Melayu dapat memerintah kembali dengan syariat Islam.


Wujudkan Majlis Syura Kebangsaan sebagai badan yang melantik Raja dan bertindak sebagai penasihat Raja serta sebagai badan tertinggi pembuat hukum.


Berilah peluang kepada mereka-mereka yang benar-benar beriman dan bertaqwa yang tulus dan ikhlas dan yang benar-benar mempunyai keahlian dibidang masing-masing untuk menjadi perancang dan menentukan hala tuju bangsa ini.

Sudah sampai masanya bagi orang Melayu untuk melihat model pemerintahan dan model ekonomi yang berbeza bagi menjamin kelansungan atau survival bangsa ini. Sistem yang diamalkan pada hari ini hanya menguntungkan segelintir kelompok elit Melayu sahaja.

Untuk apa kita berjuang dan berkorban untuk sesuatu yang dimurkai oleh Allah SWT. Kenapa kita tidak berjuang dan berkorban untuk sesuatu yang diredhai oleh Allah SWT. Sudahlah kita rugi didunia….janganlah hendaknya kita rugi pula diakhirat.


Rasuah, salah-guna kuasa, pecah amanah, pembaziran dan berbagai-bagai lagi bentuk jenayah kolar putih bukan lagi cerita baru dalam masyarakat. Ianya seakan sudah menjadi budaya dalam masyarakat. Sampai bila semua ini harus dibiarkan berterusan.


Sedarlah tentang kenyataan pada hari ini. Bangsa yang kononnya mempunyai kuasa politik dan mampu menentukan nasib dan masa depannya sendiri sedang mengemis dinegaranya sendiri. Bangsa yang kononnya pribumi dan menjadi penghuni majoriti kini merasa terancam dengan golongan minoriti.


Sudah terlalu banyak yang ditagih dari bangsa ini. Dan sudah terlalu banyak yang dikorbankan oleh bangsa ini demi mempertahankan kuasa dan demi memelihara perpaduan dan keharmonian. Apakah semua itu dihargai ?


Bangsa Melayu adalah bangsa yang berjiwa besar. Mereka mungkin tidak mengharapkan segala pengorbanan mereka dihargai. Mereka juga mungkin tidak mengharapkan segala pengorbanan mereka diberikan ganjaran. Mereka adalah bangsa yang sangat sederhana. Mereka hanya ingin hidup santai, sederhana dan aman damai.


Namun demikian, janganlah dikhianati ketulusan dan keluhuran mereka. Berikanlah peluang kepada mereka untuk mempamerkan jati diri dan potensi sebenar mereka. Sudah terbukti bahawa bangsa ini adalah bangsa yang paling akomodatif dalam dunia. Percayalah…..tidak akan ada kebangkitan dari Timur tanpa kebangkitan Melayu.


~~~~~~~~~~~~~~


Agenda Bangsa Melayu Dan Islam

Pada hari Selasa, 13 Disember 2011, bersamaan dengan 17 Muharam 1433 Hijrah, dengan limpahan rahmat dan kurniaan dari Allah SWT, maka mashurlah sudah ke seantero dunia akan perihal pertabalan dan perishtiharan Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke 14 mengantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin. Termeterilah sudah satu peristiwa besar dalam lipatan sejarah moden bangsa Melayu dan Malaysia.


Pertabalan Tuanku Abdul Halim buat kali yang kedua sebagai Yang di-Pertuan Agong membawa mesej yang signifikan kepada bangsa melayu dan seluruh umat Islam. Apatah lagi istiadat pertabalan diadakan di Istana Negara yang baru dibina.. Sesungguhnya sejarah yang dirakam pada kali ini adalah sesuatu yang diluar kebiasaan. Adalah wajar dan menarik ianya diberikan perhatian dan penilaian yang berbeza.


Menurut pendapat dan pandangan dari kacamata saya, detik bersejarah yang dirakam pada kali ini adalah menjadi petunjuk yang menandakan bermulanya zaman kebangkitan Islam buat kali yang kedua. Sepertimana kedudukan Tuanku Abdul Halim yang ditabalkan buat kali yang kedua. Kebetulan saat dan ketikanya amat sesuai dengan era kebangkitan dari Timur sebagaimana yang telah diisyaratkan oleh Nabi Muhamad Rasulullah SAW 1400 tahun dahulu.


Peristiwa ini merupakan isyarat, petunjuk atau pun qias yang seharusnya difahami oleh seluruh umat Islam yang beriman kepada Allah dan RasulNya. Isyarat yang seharusnya difahami dan diterjemahkan sebaik mungkin agar kita semua dirahmati dan diredhai oleh Allah SWT.


Dalam displin ilmu, sebagai umat Islam yang beriman, sumber rujukan kita adalah Al-Quran, As-Sunnah, Qias dan Ijmak.


Qias disini membawa maksud isyarat dari alam dan peristiwa-peristiwa besar yang berlaku disekeliling kita. Bukankah segala-galanya itu berlaku tanpa sia-sia dan mengandungi ilmu dan hikmah kepada mereka-mereka yang beriman dan mahu berfikir.

Manakala Ijmak pula adalah rumusan atau kesimpulan yang diambil berdasarkan isyarat-isyarat atau mesej daripada perubahan alam atau peristiwa yang berlaku untuk persediaan dan tindakan kita.


Sebagai contoh, apabila hari hendak hujan. Apa isyarat dari alam ? Langit mendung, bunyi guruh dan pancaran kilat. Ini fenomena yang biasa berlaku. Dan apakah rumusan atau kesimpulan yang selalunya kita ambil apabila kita melihat segala fenomena itu berlaku ? Kita pasti akan mengangkat pakaian yang ada diampaian sekiranya kita sedang menjemur pakaian atau kita akan menyediakan payung sekiranya kita hendak berjalan kemana-mana.


Dalam kontek pertabalan Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong, kedudukan Yang DiPertuan Agong dalam kontek Raja Berperlembagaan di Malaysia, Yang di-Pertuan Agong adalah merupakan institusi yang tertinggi di Malaysia. Yang di-Pertuan Agong adalah merupakan pemerintah tertinggi dan ketua agama Islam di Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa yang cukup besar untuk menanggani sebarang ancaman bersama semua pihak berkuasa sedia ada. Yang di-Pertuan Agong merupakan payung yang menaungi umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia.


Sebarang peristiwa dan perubahan yang berlaku yang berkaitan dengan institusi yang tertinggi buat umat Islam dan negara Malaysia pasti membawa isyarat yang besar. Apatah lagi peristiwa itu berlaku dalam keadaan Negara sedang menghadapi cabaran besar sama ada dalam bidang politik mahupun ekonomi.


Pertabalan Tuanku Abdul Halim buat kali kedua adalah merupakan isyarat besar kebangkitan Islam dari Timur. Kebangkitan dari Timur yang diramalkan akan dipimpin oleh bangsa Melayu. Bangsa Melayulah yang diramalkan akan bangkit untuk menerajui dan memimpin perubahan yang sedang melanda dunia. Sama ada didunia umat Islam mahupun didunia bukan umat Islam. Kedua-duanya sedang bergolak.


Didunia umat Islam pergolakannya adalah pergolakan politik. Seperti mana yang terlihat berlaku di Tunisia, Mesir, Libya, Yaman, Syiria dan Bahrain. Krisis politik yang membawa tumbangnya beberapa regim yang memerintah. Regim yang selama ini dianggap kuat dan gagah akhirnya tumbang dengan kebangkitan rakyat.

Sementara didunia umat bukan Islam pula pergolakan yang berlaku adalah akibat dari krisis ekonomi dan kewangan yang semakin hari semakin parah. Lihat sahaja apa yang sedang berlaku di Amerika Syarikat dan Negara-negara Eropah.


Tidak cukup dengan pergolakan politik dan krisis ekonomi, dunia dilanda pula dengan bermacam-macam bencana alam seperti tsunami, banjir, angin puting beliung dan gempa bumi dimerata tempat. Sesungguhnya dunia memang sedang mengalami perubahan.

Ada yang percaya dunia sedang diambang perang dunia ketiga dan ada juga yang percaya dunia sedang menuju kepada hari kiamat. Berbagai-bagai ramalan dan pendapat yang dibuat. Namun yang pastinya dunia sedang menghadapi perubahan. Baik dari segi politik, ekonomi mahu pun alam sekitar. Sama ada perubahan ini sedang menuju kearah yang lebih baik atau sedang menuju kehancuran hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui.

Persoalannya, apakah kita hanya sekadar menyaksikan saja segala perubahan dan pergolakan yang sedang berlaku ini ? Apakah hanya sekadar berpeluk tubuh tanpa melakukan apa-apa ? Wajarkah sikap yang sedemikian ? Atau kita harus bangkit dan bangun untuk berbuat sesuatu demi kesejahteraan semua ?


Jawapannya ada pada kita semua. Tepuk dada tanya selera. Kita sudah tidak boleh lagi menyandarkan segala harapan kepada pemimpin politik, ulamak-ulamak atau tokoh-tokoh korporat sedia ada. Mereka terlalu sibuk memikirkan kepentingan masing-masing. Mabuk dengan segala macam nikmat dunia yang sedang mereka kecapi sekarang. Masing-masing sedang tenggelam dalam khayalan dunia ciptaan mereka masing-masing.


Kita semua perlu bangkit terutamanya bangsa Melayu dan umat dari Timur. Sudah ditakdirkan kitalah yang perlu bangun untuk memimpin kebangkitan dari Timur. Menerajui perubahan kearah kesejahteraan sejagat. Dunia perlukan kepimpinan baru. Kepimpinan dari Timur.


Sejarah moden telah membuktikan bahawa kepimpinan dari barat telah gagal. Kepimpinan dari barat hanya membawa kepada perpecahan dan segala macam krisis. Fahaman-fahaman atau isme-isme serta sistem yang dibawa oleh mereka sudah terbukti gagal. Mereka tidak mampu menyediakan sebuah dunia yang aman dan sejahtera buat seluruh warganya.

Seluruh warga dunia sepatutnya sudah sedar bahawa kita semua adalah manusia bukan haiwan ujikaji dimakmal. Kita tidak seharusnya membiarkan diri kita menjadi bahan ujikaji dengan segala fahaman atau isme-isme yang mengelirukan kita. Yang hanya akan menjadikan kita seperti haiwan yang buas dan ganas diatas muka bumi ini.


Kita juga perlu sedar bagaimana sekulerisme, nasionalisme, patriotisme, demokrasi, kapitalisme dan berbagai isme lagi yang telah menyebabkan kita semua berpecah belah dan memusuhi antara satu sama lain. Bukankah kita semua bersaudara ? Bukankah kita semua dari bani Adam ? Keturunan Adam dan Hawa. Walau apapun bangsa kita dan warna kulit kita sekarang.


Kalau sudah begitu hakikatnya mengapa kita tidak bolih hidup aman dan harmoni sebagai satu keluarga besar ? Saling sayang menyayangi antara satu sama lain dan saling bekerja sama demi kesejahteraan kita semua.


Dunia bukan medan pertandingan atau perlumbaan. Kita tidak perlu mengalahkan sesiapa atau menyaingi sesiapa. Apa yang ingin kita buktikan dengan mengalahkan orang lain ataupun dengan menyaingi orang lain ? Siapa yang mengajar kita semua tentang semua itu ? Tidakkah kita sedar kita semua sedang diperbodoh-bodohkan ? Dan tidakkah kita sedar bahawa ada pihak yang sedang mengaut keuntungan daripada kebodohan kita itu ?

Pada hakikatnya, dunia adalah tempat untuk kita diuji kesedaran dan keinsafan tentang siapa diri kita yang sebenarnya. Diuji tentang nilai-nilai kemanusian kita. Mengapa kita tidak saling bantu-membantu untuk menjadi sebenar-benar manusia ?


Oleh itu sudah sampai masanya untuk seluruh warga dunia menilai kembali segala fahaman dan sistem yang menjadi amalan pada hari ini. Apa salahnya menoleh ke Timur. Dunia sebelah Timur yang didiami oleh bangsa Melayu, Cina dan India. Dunia yang dihuni oleh lebih daripada 2.5 billion umat. Belahan dunia yang cukup kaya dengan segala macam sumber alam. Kekayaan yang sekiranya mampu ditadbir dan diurus dengan baik mampu membawa kesejahteraan kepada seluruh warga dunia.


Namun apakah model kepimpinan yang terbaik yang mampu membawa dunia kearah perpaduan dan kesejahteraan ? Sekali lagi, apa salahnya kita semua melihat kepada model pemerintahan Islam. Model pemerintahan yang suatu waktu dahulu mampu bertahan selama lebih dari seribu tahun. Kajilah sejarahnya yang panjang itu. Berlapang dadalah dalam membuat kajian dan penilaian. Pemerintahan Islam bukan hanya sekadar untuk umat Islam tetapi untuk seluruh umat manusia.


Apa salahnya menerima kepimpinan Islam sekiranya Islam mampu membawa keadilan, keamanan dan kemakmuran kepada dunia. Bukankah itu impian semua umat manusia ?

Adakah lagi model pemerintahan yang komprehensif dan sesempurna Islam yang mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia. Baik dari segi politik, ekonomi, kewangan, pendidikan, kemasyarakatan dan sebagainya. Islam terbukti tidak pernah menolak kemajuan. Ilmu sains dan teknologi berkembang pesat dalam pemerintahan Islam. Lihatlah kesan-kesan peninggalan sejarah Islam. Apakah ini semua tidak cukup membuktikan bahawa Islam lebih baik daripada semua fahaman dan model-model pemerintahan yang sedia ada ?


Kepada seluruh warga dunia, sekali lagi bukalah minda dan berlapang dadalah terhadap Islam. Berikanlah penilaian yang adil terhadap Islam. Kenalilah Islam sebagaimana kamu mengenali diri kamu sendiri. Islam tidak pernah membeza-bezakan kamu. Tidak pernah membeza-bezakan kaum atau bangsa mahu pun warna kulit. Terimalah Islam kerana hanya Islam yang mampu membawa keadilan dan kesejahteran sejagat.


Kepada seluruh umat Melayu, kamulah sebaik-baik umat yang mampu menegakkan kembali syiar kegemilangan Islam. Kamulah bangsa yang dianugerahi dengan ketinggian pekerti, kelembutan, kesabaran dan kebijaksanaan untuk membawa kebenaran dan keadilan Islam keseluruh dunia dengan kasih sayang. Janganlah kamu khianati amanah ini. Ini amanah yang terpikul dibahu kamu semenjak azali andai kamu mengerti. Kembalilah kepada Allah dan RasulNya. Kembalilah kepada Al-Quran dan As-Sunnah agar kamu tidak terpesong terus dari jalan yang diredhaiNya.


Sedarlah wahai bangsa Melayu bahawa masanya sudah tiba. Bangkitlah ! Inilah agenda baru perjuangan kamu. Tinggalkanlah segala perjuangan yang sia-sia. Kembalilah kepangkal jalan. Berjuanglah untuk menegakkan kembali Daulah Islamiyah. Bangkitlah dari tidurmu yang panjang. Dunia perlu kepada kepimpinanmu. Isyarat perjuangan sudah datang kepada kamu. Sambutlah dengan penuh keimanan dan ketaqwaan. Semoga Allah SWT merahmatimu dan memudahkanmu disepanjang perjalananmu menempuhi cabaran yang dimasa hadapan.






via WordPress http://wiccnetworks.com/blog/?p=137

No comments:

Post a Comment

TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...