Pages

Follow me on Instagram : ezzardster

10/17/2012

Melayu, UMNO dan Kebangkitan Dari Timur..


Sebagaimana lazimnya setiap tahun, UMNO bersidang lagi. Dan sebagaimana seharusnya, persidangan UMNO haruslah diikuti dan diberi tumpuan oleh seluruh orang Melayu dan rakyat Malaysia tetapi juga oleh umat seluruh dunia.

Ini kerana UMNO merupakan pertubuhan orang Melayu yang terbesar di Malaysia. UMNO sarat dengan sejarah perjuangan politik orang Melayu dan juga sarat dengan segala macam krisis dan konflik dalamannya. Sumbangannya cukup besar kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Secara peribadi, saya cukup mengenali UMNO. Saya lebih dahulu mengenal UMNO berbanding bangku disekolah. Ini kerana sewaktu kecil saya sering dibawa oleh ibu saya kemesyuarat dan majlis-majlis yang diadakan oleh UMNO. Dan saya terus membesar dalam persekitaran UMNO. Walaupun saya tidak pernah diberi kesempatan untuk memegang jawatan penting didalam UMNO namun saya tidak pernah jauh dari UMNO.

Sehingga kini hanya UMNO lah satu-satunya pertubuhan atau persatuan yang saya kenal. Saya tidak pernah menganggotai mana-mana pertubuhan atau persatuan lain. Banyak ilmu dan pengalaman yang saya timba hasil dari sumbangan saya kepada UMNO. Dan saya tidak pernah mengharapkan apa-apa dari sumbangan tersebut. Saya lakukan semata-mata kerana kecintaan terhadap agama, bangsa dan tanahair.

Sesunguhnya besar hikmah yang saya perolehi dengan meniti suratan takdir sebagai ahli UMNO. Begitulah kehendak dan rahmat Allah SWT terhadap hambaNya yang ingin mengapai keredhaanNya. Bukankah Dia yang lebih mengetahui tentang segala-galanya. Dan juga bukankah Dia sebaik-baik pengatur.

UMNO yang saya kenali ditubuhkan pada tahun 1946 untuk menyatukan dan mengembeling seluruh kekuatan orang Melayu untuk menentang penubuhan Malayan Union. Setelah berjaya dalam misi perjuangannya yang pertama itu, UMNO terus mara dan maju kehadapan untuk mencapai matlamat yang lebih besar iaitu berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. Dan akhirnya matlamat ini juga dapat dicapai. Dan yang lebih menakjubkan kemerdekaan tersebut dapat dicapai tanpa menumpahkan darah tetapi diraih melalui kaedah diplomasi dimeja perundingan.

Setelah kemerdekaan berjaya dicapai tugas mengisi kemerdekaan dan membangunkan Negara dan bangsa menjadi agenda utama perjuangan UMNO. Menyedari realiti dalam sebuah Negara yang memiliki rakyat yang berbilang bangsa UMNO sekali lagi mempamerkan kebijaksanaan berpolitik yang cukup luarbiasa dengan mempelopori konsep Berkongsi Kuasa dengan MCA yang mewakili kelompok etnik Cina dan MIC yang mewakili kelompok etnik yang berbangsa India.

Dengan berberbekalkan prinsip berkongsi kuasa, UMNO menunjangi Barisan Nasional untuk menerajui dan memimpin Negara ini. Membangun dan memajukannya. Dari sebuah Negara pertanian, Malaysia pesat membangun menjadi sebuah Negara industri yang berdaya saing. Kepesatan pembangunannya membuatkan ia disegani dan dihormati dipersada antarabangsa. Kepimpinan UMNO berjaya menjadikan Malaysia sebagai Negara membangun yang perlu dicontohi. Sumbangannya dan penglibatannya diperingkat antarabangsa diikhtiraf dan dihargai. Kelantangan dan kesungguhannya menyuarakan kepentingan negara-negara membangun membuatkan Malaysia dianggap sebagai jurucakap Negara-negara yang sedang membangun lainnya.

UMNO dari kacamata saya, berupaya menjadi lambang kepada sikap orang Melayu yang lemah lembut, berhemah tinggi, kaya dengan budi bahasa dan memiliki sikap toleransi yang luar biasa terhadap mereka yang berlainan agama dan bangsa. UMNO juga mencerminkan sikap orang Melayu yang bersikap terbuka, pragmatik dan dinamik. Sesuai dengan jati diri bangsa Melayu itu sendiri yang memiliki jiwa dan potensi yang besar sebagai bangsa yang mendapat taufik dan hidayah serta dirahmati oleh Allah SWT. Satu bangsa yang telah ditakdirkan untuk menjadi bangsa yang akan bangkit diakhir zaman untuk memimpin dunia.

Dengan kepimpinan orang Melayu dan UMNO, Malaysia kini sedang berada dilandasan yang betul untuk menjadi sebuah Negara yang maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Sejarah panjang UMNO merakamkan berbagai-bagai kisah kejayaan juga krisis dan konflik dalaman yang menguji kematangan dan kemampuannya untuk menangani berbagai cabaran dalam proses pendewasaannya. Tanpa disedari oleh orang-orang Melayu atau mungkin juga sudah disedari oleh segelintir, segala-gala yang berlaku ini sebenarnya adalah untuk mempersiapkan bangsa ini untuk memikul amanah dan agenda yang lebih besar selepas 2020.

Sejarah panjangnya juga memperlihatkan UMNO sudah acap kali dikhianati oleh bekas-bekas pemimpin dan ahli-ahlinya. UMNO dicerca dan dimaki hamun seolah-olah seperti tidak mempunyai sebarang jasa terhadap mereka dan juga Negara. Maruah UMNO diinjak-injak. Sikap yang tidak seharusnya ada kepada seorang pemimpin mahu pun pahlawan yang mempunyai maruah. Setelah puas memaki hamun UMNO, ada sebilangan yang sanggup kembali kepada UMNO dengan berbagai alasan. Dan mereka ini diterima kembali dan ada yang telah diberi jawatan. Begitulah sikap orang Melayu dan UMNO yang pemaaf dan mempunyai daya toleransi yang tinggi dan luar biasa.

Sampai bila orang Melayu dan UMNO akan terus bersikap seperti ini ? Terus dipermain-mainkan oleh segelintir pemimpin-pemimpin dan pecacai-pecacai politik yang hanya ingin mengejar jawatan dan kekayaan dengan menunggangi UMNO. Sampai bila ? Sampai bila orang Melayu dan UMNO akan sedar ? Dari tipu daya sebilangan mereka yang bijak bersandiwara mengunakan agama, semangat nasionalisme Melayu dan juga yang mempamerkan semangat patriotisme kenegaraan. Segalanya jadi mungkin dan segalanya jadi halal demi untuk mendapatkan kuasa dan kekayaan.

Sudah sampai masanya UMNO melakukan perubahan besar dari dalam. Bukan sekadar hanya berusaha menangani perubahan persekitarannya. Proses Re-Engineering atau kejuruteraan semula atau penstrukturan semula perlu dilakukan. Ini bagi menjamin UMNO dapat ditransformasikan untuk menjadi sebuah pertubuhan atau jamaah yang mampu menerajui perubahan yang sedang melanda diseluruh dunia baik dari segi politik, ekonomi dan sosial.

Untuk melakukan proses ini, re-visit atau penziarahan semula terhadap matlamat, halatuju, prinsip, nilai, budaya dan struktur organisasi perlu dilakukan. Nilai, budaya dan struktur yang ada pada UMNO hari ini tidak memungkinkan UMNO untuk melahirkan pemimpin yang hebat yang mampu menerajui perubahan zaman. Nilai dan budaya yang wujud pada hari ini hanya memungkinkan pemimpin yang korup dan tidak berwibawa untuk menerajui parti.

UMNO perlu berani dan segera membuat perubahan besar. Lanskap politik hari ini sudah berbeza. Ianya semakin hari akan semakin dikuasai oleh Generasi Y . Generasi yang membesar dalam linkungan dan era ledakkan teknologi maklumat.

Pengetahuan dan maklumat yang mereka miliki kini cukup luar biasa. Segala maklumat dan peristiwa yang berlaku diseluruh dunia mampu diakses dengan sekelip mata. Perbincangan mereka juga sudah bukan diwarung-warung atau dikedai kopi tetapi melalui forum-forum yang banyak terdapat diinternet. Malahan forum-forum tersebut disertai oleh banyak warga dunia.

Jadi wajarlah pemimpin=pemimpin Melayu dan UMNO merenung dan menilai segala perubahan yang sedang berlaku. Meneliti kecenderungan umum yang sedang mempengaruhi generasi Y ini. Lalu dirangkalah pelan dan tindakan yang sewajarnya untuk menerajui gelombang perubahan yang sedang melanda generasi Y dan seluruh warga dunia.

TIDAK AKAN ADA KEBANGKITAN DARI TIMUR TANPA BANGKITNYA ORANG MELAYU..

Renung dan fikirkanlah kenyataan diatas. Kenyataan tersebut punya asas dan kebenarannya yang tersendiri. Carilah dan galilah dalil dan kebenarannya didalam Al-Quran dan pada Hadis Nabi Muhamad Rasulullah SAW. Semoga kita semua menemukan jawapan dan kekuatan.

Mulakanlah proses muhasabah diri. Bertanyalah pada diri sendiri. Kenalilah diri sendiri. Ketahuilah jati diri yang hakiki. Semuga bangsa yang sedang tidur dan terlena akibat kelelahan kerana perjalanan yang panjang mampu bangkit tidur dan dari buaian mimpi-mimpi indah.

Tanyakanlah kepada bangsa ini dari mana asal usulnya ? Siapa Nabinya ? Siapa ibu bapanya ? Dan mengapa ia terdampar dan bermastautin di kepulauan Melayu ini disudut benua Asia yang paling selatan ? Dan apakah sebenarnya agenda bangsa ini sehingga sanggup melakukan pengembaraan yang jauh dan panjang ?

Renungkanlah mengapa kita diajar selama ini untuk hidup dengan bangsa-bangsa lain yang amat berbeza adat dan kepercayaannya serta bahasa dan agamanya. Diajar untuk bersikap terbuka dan berlapang dada. Diajar untuk sanggup berkorban demi mencapai kebahagian dan kesejahteraan. Diajar untuk lebih banyak memberi dari menerima.

Adakah semua ini sekadar satu kebetulan atau pun memang sudah menjadi suratan ? Dan apakah sebenarnya semua yang berlaku ini ada hikmah dan pelajarannya yang perlu kita insafi dan kita semua fahami ? Dan apakah segala kejadian dan pengalaman ini juga sedang mempersiapkan kita untuk satu misi dan agenda yang lebih besar ? Renungkanlah…

Mungkin persoalan yang paling besar dan menarik adalah apakah bangsa Melayu dan UMNO menyedari dan insaf akan tugas hakikinya dimasa akan datang? Tentang amanah dan tanggung-jawab besar yang telah ditakdirkan terpikul diatas bahunya. Tugas hakiki serta amanah yang harus dipikul melangkaui tahun 2020.

Renungkanlah dan carilah jawapannya. Setiap persoalan pasti ada jawapannya. Gunakanlah Iman, Akal dan Ilmu dengan sebaik-baiknya. Janganlah hanya menggunakan logik akal dan ilmu semata-mata. Hanya iman dan taqwa sahajalah yang mampu membawa kita kepada kebenaran. Gunakanlah segala kudrat dan kesempatan yang ada. Segala teknologi dan kemudahan sudah terhidang didepan mata.

Ayuh ! selidikilah asal-usul bangsa ini. Kajilah dan renunglah. Janganlah berpuas hati hanya dengan sekadar membaca sejarah bangsa yang ditulis oleh para penjajah. Mereka itu punya muslihat yang tersendiri. Mereka hanya ingin melihat agar bangsa ini terus merasa rendah diri, tiada keyakinan diri dan yang lebih utama mereka tidak ingin bangsa ini mengetahui identiti dirinya yang sebenar serta kemampuan dan segala kelebihan yang ada padanya.

Telusurilah jejak-jejak langkah bangsa ini. Sejauh yang mungkin. Biarpun terpaksa melangkaui batas benua dan masa. Melangkaui segala sejarah dan peradaban manusia. Telusurilah sehingga bertemu dengan ayahanda Nabi Ibrahim AS dan isterinya Siti Keturah. Disitulah titik permulaan segala-galanya. Kajilah dan selidikilah setiap jejak langkahnya. Moga kita akan bertemu dengan segala jawapan yang kita cari –cari selama ini.

Kepada UMNO selamat bersidang. Dan kepada orang-orang Melayu yang menjadi ahlinya janganlah hanya menjadikan persidangan UMNO ini sebagai acara tahunan semata-mata. Tetapi jadikanlah persidangan ini sebagai medan untuk percambahan pemikiran dan mengariskan hala tuju perjuangan bangsa untuk mengapai matlamat yang lebih bermakna.

Sesungguhnya tiada matlamat yang lebih suci, lebih besar dan lebih agung selain untuk mencapai keredhaan Allah SWT. Ingatlah, bahawa dunia ini hanyalah sebagai medan untuk kita diuji keimanan dan ketaqwaan kita. Janganlah leka dengan keseronokkan dan nikmat dunia yang sementara ini. Segala apa yang ada didunia ini pada hakikatnya tidak ada apa-apa nilainya disisi Allah SWT. KepadaNyalah kita semua berserah diri.






via WordPress http://wiccnetworks.com/blog/?p=112

1 comment:

  1. UMNO perlukan pembaharuan..sebab ramai orang lama yang tamak kuasa..
    Tapi aku tetap sayang UMNO...
    Hidup UMNO!!!!!!

    ReplyDelete

TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...