Pages

Follow me on Instagram : ezzardster

9/06/2015

Wahai Kekasih Allah

Wahai Kekasih Allah...
Andainya engkau merasakan bahawa kehidupanmu semakin hari semakin mencengkam, semakin menggigit, bersabarlah...
Andainya mata pencarianmu semakin hari semakin sempit, perbelanjaan mu semakin hari semakin melangit, bersabarlah...
Andai keluargamu semakin hari semakin mencemuh, handai taulan semakin menjauh, bersabarlah...
Andai engkau merasa tersiksa, teraniaya dan merasa di zalimi oleh mereka-mereka yang punya kuasa dan upaya, bersabarlah...
Mungkin engkau tidak pernah menyedari bahawa dirimu punya tempat yang cukup istimewa di sisi Allah. Atau mungkin juga engkau tidak pernah menyangka bahawa dirimu punya tempat yang istimewa di sisi Allah.
Ini mungkin kerana engkau merasakan bahawa ilmu mu itu masih terlalu sedikit. Amal mu juga engkau rasakan masih terlalu sedikit apatah lagi Ibadah mu juga masih engkau rasakan terlalu sedikit. Oleh kerana itu engkau tidak pernah menyangka bahawa diri mu itu punya tempat yang cukup istimewa di sisi Allah.
Allah tidak senang melihat engkau banyak ketawa lalu di buatNya engkau banyak menangis, Allah tidak senang melihat engkau banyak angan-angan lalu di buatNya engkau banyak merintih. Allah tidak senang melihat engkau terlalu percaya diri lalu di buatNya engkau hampir putus asa.
Kenapa ?
Kerana Dia mahu engkau kembali kepadaNya. Kembali memohon pertolongan dariNya. Kembali meletakkan harapan kepadaNya.
Dia tidak senang melihat engkau meletakkan untung nasibmu di tangan sesama manusia. Dia tidak senang melihat engkau terus bergembira dan berbahagia bersama anak isterimu. Dia tidak senang melihat engkau bergurau senda dengan teman-teman dan jiran tetanggamu.
Kenapa ?
Ini kerana Dia mencintaimu. Dia punya tempat yang istimewa buat kamu di sisiNya. Dan Dia mahu kamu sentiasa di situ. Sentiasa bersama denganNya. Biar pagi biar petang biar siang biar malam.
Engkau mungkin terasa sakit, terasa sesak nafas dan lelah dengan kehidupanmu. Jangan menyalahkan kehidupan yang membuatmu merasa begitu tapi ketahuilah bahawa ini kerana terlampau eratnya pelukanNya ke atasmu. Ini kerana terlalu dekatnya engkau kepadaNya sehingga engkau tidak merasa ada ruang buat engkau untuk menarik nafas.
Jangan engkau mengira bahawa Dia tidak menghargai setiap titisan airmatamu yang tumpah ke bumi. Jangan engkau mengira Dia tidak mendengar setiap keluhan dan rintihanmu.
Sesungguhnya Dia cukup bahagia melihat linangan airmatamu. Dia cukup terhibur dengan setiap bait-bait keluhan dan rintihanmu.
Percayalah bahawa engkau sudah berada di dalam gengaman kasih sayangNya. Berbahagialah dengan berita ini. Laluilah sisa-sisa kehidupan ini dengan penuh kesyukuran. Setiap hari yang berlalu menandakan semakin dekat saatnya untuk menemui kekasihmu yang abadi. Kekasih yang sentiasa mengharapkan kedatanganmu.Yang sentiasa setia menunggumu. Yang sentiasa melebarkan tanganNya untuk memelukmu
Wahai kekasih Allah... Berbahagialah dengan perkhabaran ini. Betapa beruntungnya nasib kamu kerana di cintai Allah. Tidak ada cinta yang seagung cintanya.
Janganlah berhenti menangis. Namun kali ini menangislah kerana kamu juga mencintai Dia. Jangan lagi kamu menangis kerana dunia yang tidak pernah membawa sebarang erti di sisiNya...

No comments:

Post a Comment

TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...